Program Inspirasi Varsiti anjuran Kelab MySTEM Ambassador UPM telah berlangsung dengan jayanya pada 14 Ogos 2025 (Khamis) bertempat di Dewan Kolej Pendeta Za’ba (KPZ), Universiti Putra Malaysia. Program ini menghimpunkan pelajar-pelajar sekolah menengah sekitar Kuala Selangor dengan objektif untuk memupuk minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) melalui pendekatan interaktif, kreatif, dan menyeronokkan.
Antara sekolah yang terlibat termasuklah SMK Dato Harun, SMK Saujana Utama, SMK Jeram, SMK(A) Kuala Selangor, dan SMK Seri Desa. Sepanjang program, para pelajar didedahkan dengan pelbagai aktiviti inovatif seperti pertandingan, eksperimen STEM secara langsung, persembahan interaktif, serta sesi motivasi daripada fasilitator MySTEM Ambassador.
Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk mengasah kreativiti dan kemahiran berfikir secara kritis, malah turut membuka ruang untuk membina jaringan kerjasama antara sekolah dan universiti. Dengan sokongan tenaga pengajar dan fasilitator muda daripada Universiti Putra Malaysia, program ini berjaya mencetus inspirasi baharu kepada para pelajar untuk terus berinovasi dan berani mencuba dalam bidang STEM.